Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada sidang media selepas mesyuarat pascakabinet di kementerian itu di Putrajaya pada 7 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pakej perpaduan prabayar internet RM5 sebulan mulai Februari 2023

SHAH ALAM, 21 DIS: Kerajaan bakal memperkenal pakej perpaduan prabayar internet mudah alih dengan harga lebih murah berbanding pasaran mulai Februari tahun depan.

Menteri komunikasi dan digital berkata langganan itu dibuat dengan kerjasama Celcom-Digi, Maxis, Umobile, Telekom Malaysia dan YTL Communications Sdn Bhd (YES).

Menurut Fahmi Fadzil, pakej pada harga RM30 dengan data 30 gigabait (GB) selama enam bulan khusus buat belia, golongan berpendatan rendah, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Melalui penjimatan hanya RM5 sebulan, golongan itu boleh menikmati kemudahan internet dan komunikasi dengan kelajuan tiga megabit sesaat (Mbps),” katanya dalam sidang media hari ini.

Fahmi menjelaskan data itu dapat digunakan untuk perkhidmatan teks dan panggilan selain aplikasi dalam talian seperti penghantaran makanan, perbankan, navigasi dan carian internet.

Beliau berkata kerajaan hanya menyediakan pakej asas bagi prabayar internet, manakala tawaran nilai tambah bergantung kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

“Untuk akan datang, kementerian akan berusaha lebih gigih bagi memastikan beberapa perkara dapat diumumkan. Ada beberapa perkara sedang dibincangkan,” katanya lagi.

 


Pengarang :