Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Ong Seng Peng (kanan) bersama Timbalan Pengerusi Persatuan Penganut Shun Gong, Choo Khen Lon (dua, kanan) dan wakil MPKj meninjau tapak Tokong Shun Nam Gong berhubung aduan pembinaan tidak mengikut peraturan di Jalan Reko, Kajang pada 29 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Pengurusan tokong patuh arahan MPKj, baiki sistem parit

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KAJANG, 30 DIS: Pengurusan Tokong Shun Nam Gong di sini patuh arahan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk membaiki sistem longkang dan perparitan di kawasan itu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penganut Shun Nam Gong berkata pihaknya akan membuat sedikit pembetulan kepada infrastruktur berkenaan seperti diminta pihak berkuasa tempatan.

“Pihak kami juga akan hantar notis lagi kepada penduduk untuk memaklumkan perkembangan sebarang pembinaan seperti infrastruktur dan penambahbaikan jalan walaupun mereka sudah sedia maklum.

“Pembinaan tokong ini secara tidak langsung akan bantu pembangunan infrastruktur kawasan sekitar dengan pembinaan infrastruktur lebih baik seperti jalan dan longkang lebih besar,” kata Choo Khen Lon.

Mengulas kebimbangan penduduk mengenai banjir di kawasan berkenaan susulan pembinaan tokong itu, beliau menjelaskan kawasan berkenaan banjir sejak 50 tahun lalu.

“Sini banjir bukan pasal air longkang tetapi air sungai naik. Bila hujan lebat dua hingga tiga jam air Sungai Langat yang jauhnya kira-kira 100 meter dari kampung ini akan naik dan masuk ke kawasan ini.

“Jadi sekarang kerajaan sedang buat projek di Sungai Langat, jadi kita harap selepas itu boleh selesai masalah banjir di sini,” katanya.


Pengarang :