DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika menerima menghadap Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Dato’ Sri Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Dato’ Norazam Khamis di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 28 Disember 2022. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan zahir penghargaan peranan bomba dalam tragedi Batang Kali

SHAH ALAM, 30 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Bomba negeri yang cemerlang dalam tugas mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berbangga dan menghargai usaha serta kesungguhan anggota terlibat sehingga operasi SAR tamat selain bertitah agar pasukan itu terus komited dan berdedikasi menggalas tanggungjawab.

“Baginda sentiasa mengikuti laporan harian operasi menyelamat dan kagum dengan kesungguhan serta semangat yang ditunjukkan setiap anggota penyelamat ketika melaksanakan operasi SAR mangsa yang tertimbus, meskipun berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran.

“Baginda juga dapat saksikan koordinasi yang baik di antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor bersama agensi-agensi lain,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

Terdahulu, Baginda menerima menghadap Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Dato’ Sri Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Dato’ Norazam Khamis di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.


Pengarang :