Penjual Mohd Arif Aiman Ahmad Azli sedang menyusun telur ketika program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Taman Jenaris, Kajang pada 17 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM: Menteri umum harga telur lebih rendah esok

SHAH ALAM, 5 DIS: Harga telur yang kadarnya lebih rendah akan diumum Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat khas pertama Kabinet di sini hari ini.

“Ada beberapa langkah diambil yang diharap akan diumumkan oleh beliau (Mohamad) esok dengan harga lebih rendah kerana mengurangkan kebergantungan kepada kartel,” katanya

Tengah hari tadi, Bernama melaporkan Mohamad Sabu berkata isu bekalan makanan dengan harga berpatutan antara agenda utama selain isu ketidaktentuan bekalan dan harga telur ayam di pasaran.

“Pertama sekali soal harga telur sebab itu makanan umum daripada golongan miskin hingga ke kelas atasan makan telur jadi ini perkara perlu ambil perhatian khas disamping harga ikan dan ayam,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan perancangan sedia ada dan sebarang perkara baharu akan dibincang bersama pegawai yang lebih berpengalaman.

Terdahulu, Mohamad Sabu mengimbas kad perakam waktu pukul 1.35 tengah hari sebagai simbolik bermula tugas rasmi beliau selaku menteri portfolio berkenaan.

 


Pengarang :