Keadaan kereta pelayan restoran yang maut selepas bungkusan ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup malam tadi. Foto Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya
AGENDA JENAYAH

Polis tunggu laporan forensik bahan letupan sebabkan kematian pelayan restoran

SHAH ALAM, 30 DIS: Polis sedang menunggu laporan forensik bagi mengenal pasti isi kandungan bahan letupan yang digunakan hingga menyebabkan seorang pelayan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang dekat sini, maut malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata setakat ini siasatan kes itu sedang dijalankan merangkumi semua aspek.

“Kami masih mengesan suspek yang terlibat,” katanya kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Selangor di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Mengulas dakwaan hantaran yang tular di media sosial, mendakwa bahan letupan itu merupakan buatan sendiri, Sasikala berkata perkara itu juga sedang disiasat.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan ada bunyi letupan di tempat kejadian yang berlaku pada 8.55 malam.

– BERNAMA


Pengarang :