Pengunjung memilih buku ketika hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 di Pusat Konvesyen MBSA, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

PPAS sasar 300,000 hadir Pesta Buku Antarabangsa Selangor

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 1 DIS: Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022 bermula hari ini di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini dijangka menarik kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung sepanjang 11 hari berlangsung.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata pihaknya menjangkakan kehadiran harian pengunjung bermula 10 pagi hingga 10 malam antara 10,000 orang hingga 30,000 orang.

“Hari ini sahaja sehingga 4 petang sebanyak 7,840 pengunjung telah dicatatkan hadir termasuk kumpulan besar pelajar dari 11 sekolah,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen MBSA hari ini.

Datin Paduka Mastura Muhamad. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menurut Mastura, sebanyak 295 gerai pameran dibuka kali ini dengan 13 daripadanya merupakan gerai antarabangsa melibatkan negara China, Singapura dan Indonesia.

Katanya, 195 lagi adalah gerai pameran penerbit buku dalam negara, permainan kanak-kanak, makanan dan barangan lain (40), kekeluargaan dan perkembangan kanak-kanak (30) dan penerbit buku persendirian (16).

“SIBF akan dilancarkan bersama Anugerah Ilustrator Yusof Gajah 2023 esok,” katanya.

Pesta tersebut dianjurkan Kerajaan Negeri dan PPAS sebagai urusetia julung kali diadakan hasil kesinambungan Pesta Buku Selangor yang telah dijalankan selama 16 kali sejak 2006.

Selain pameran dan jualan buku, pelbagai aktiviti menarik termasuk sembang santai bersama sasterawan dan karyawan, cabutan harian untuk pengunjung bertuah, pertandingan bercerita, bersajak, bersyair, catur, pantomin dan persembahan dikir barat untuk pelajar sekolah.


Pengarang :