Penolong Pegawai Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Mohd Hadzmer Sanuddin memegang akar pokok pepanjat yang mengelilingi pokok tempinis di hutan simpan Ampang Pechah. Nama sainsnya ‘Streblus elongatus’, tempinis sejenis pohon sederhana yang boleh tumbuh setinggi 30 meter pada 14 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rancangan 10 tahun hutan Selangor jamin kelangsungan khazanah bumi

SUBANG JAYA, 8 DIS: Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Selangor 2021-2030 bakal menjamin kelangsungan khazanah hutan pada masa depan, kata Ketua pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Datuk Mohd Ridza Awang berkata menerusi rancangan terbabit, hutan simpan kekal (HSK) Selangor seluas lebih 250,250 hektar yang terdiri dari 10 kelas hutan akan dipelihara.

Ketua Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Indera Mohd Ridza Awang berucap ketika majlis perasmian Seminar Ekspedisi Saintifik Biodiversiti Diraja Taman Negeri Selangor di Bukit Fraser di Hotel Sunway Resort, Subang Jaya pada 8 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“HSK merangkumi 31.6 peratus daripada keluasan negeri dan diklasifikasikan dalam Seksyen 10 Akta Perhutanan Negara 1984. Antara kelasnya ialah hutan pengeluaran, perlindungan tanah, tadahan air, hidupan liar dan hutan dara.

“Rancangan ini menentukan bentuk pengurusan serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi memastikan khazanah hutan yang tidak ternilai ini terjaga dengan baik,” katanya ketika seminar Ekspedisi Saintifik Biodiversiti Diraja Taman Negeri Selangor Bukit Fraser di Sunway Resort Hotel di sini hari ini.

Mohd Ridza berkata data diperoleh dari program seminar dapat membantu proses penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran peringkat akademik sekali gus mampu memulihara ekosistem serta kehidupan biologi hutan.

“Kami mengalukan program seperti ini dijayakan di semua negeri. Pelbagai keunikan biodiversiti hutan kita yang mampu menarik penyelidik dari dalam dan luar negara untuk diteroka,” katanya.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berkenan menyempurnakan seminar berkenaan.

Dalam majlis sama, Tengku Permaisuri Norashikin turut melancar buku orkid ‘Magnificient Wild Flowers of Selangor State Park Semangko Forest Reserve’ dan Keunikan Tersembunyi Warisan Hutan.


Pengarang :