Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan jemaah pada majlis bacaan yasin, tahlil, doa selamat dan solat Jumaat sempena sambutan Hari Keputeraan ke-77 Baginda di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 9 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan hadiri bacaan Yasin, solat Jumaat sempena Hari Keputeraan ke-77

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 9 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan ke majlis bacaan Yasin sempena Hari Keputeraan Baginda ke-77 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menunaikan solat Jumaat berjemaah bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Khutbah yang dibaca Imam Besar Muhammad Farhan Wijaya bertajuk Sultan yang Adil menyentuh peranan Baginda sebagai khalifah yang diamanahkan untuk menjaga kemakmuran dan kesejahteraan negeri.

Intipati khutbah turut menyebut Sultan yang diredhai Allah adalah Sultan yang prihatin terhadap
agama dan umat Islam selain sentiasa menasihatkan rakyat memelihara solat dan menunaikan zakat.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (dua, kiri) berkenan hadir pada majlis bacaan Yasin, tahlil, doa selamat dan solat Jumaat sempena sambutan Hari Keputeraan ke-77 DYMM Sultan Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 9 Disember 2022. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 

“Peranan aktif DYMM Sultan Selangor dalam menyuarakan prinsip dan nasihat membabitkan kesucian Islam adalah satu usaha Baginda melaksanakan perintah Allah SWT.

“Baginda sentiasa mengingatkan umat Islam agar berakidah dengan benar, sentiasa bersatu hati dan jangan berpecah-belah serta jujur, amanah dan ikhlas dalam kehidupan,” menurut khutbah itu.

Turut disentuh peranan Baginda dalam memelihara Islam daripada dicemari golongan sesat, melindungi kemakmuran institusi ibadah dan pendidikan serta menegakkan undang-undang Islam.


Pengarang :