Jabatan Alam Sekitar Selangor bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia menahan tiga kontena yang membawa sisa elektrik dan elektronik di Pelabuhan Barat, Klang pada 8 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Alam Sekitar
AGENSISELANGOR

JAS, Kastam tahan tiga kontena bawa e-sisa di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 9 DIS: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia menahan tiga kontena yang membawa sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) seberat 100 tan metrik di Pelabuhan Barat, Klang, semalam.

Pengarahnya Nor Aziah Jaafar berkata pemeriksaan pihaknya mendapati ketiga-tiga kontena itu mengandungi bahan buangan iaitu perkakasan komputer terpakai berserta wayar yang diimport daripada Amerika Syarikat dan Sepanyol.

“Pemeriksaan turut mendapati pengimport telah mengikrar bahan dagangan sebagai sekerap aluminium bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Notis Arahan di bawah Seksyen 31(1) dan Seksyen 37(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1975 akan dikeluarkan kepada syarikat-syarikat pengimport untuk memulangkan kontena-kontena itu ke negara asal di bawah prosedur Konvensyen Basel,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, antara prinsip utama Konvensyen Basel ialah buangan berbahaya hendaklah dilupuskan di dalam negara di mana buangan tersebut dihasilkan dan pergerakan buangan berbahaya merentasi sempadan hanya dibenarkan jika diuruskan secara mesra alam serta mendapat persetujuan negara pengimport.

Nor Aziah berkata tahun ini JAS Selangor telah mengeluarkan 18 Notis Arahan kepada syarikat-syarikat pengimport, melibatkan 30 kontena mengandungi sisa elektronik, sisa plastik terpakai, buangan bateri terpakai dan komponen enjin, untuk dipulangkan ke negara asal antaranya Amerika Syarikat, Latvia, Korea Selatan dan Mexico.

“Hasil buangan ini dibawa masuk untuk diproses bagi mendapatkan komponen logam-logam berharga oleh operator haram.

“Apa yang membimbangkan adalah operator yang tidak berlesen dengan JAS ini menggunakan kaedah konvensional serta menyebabkan pencemaran bau dan sungai,” katanya.

Beliau berkata JAS Selangor komited untuk membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan bagi mengelakkan negeri ini dijadikan tempat pelupusan buangan negara asing. – BERNAMA


Pengarang :