ADNSELANGOR

Wakil rakyat, penduduk sepakat kumpul dana baiki ban Sungai Semenyih (VIDEO)

SHAH ALAM, 21 DIS: Sebanyak RM36,000 berjaya dikumpul bagi melaksanakan kerja membaik pulih dan melebarkan ban Sungai Semenyih di Kampung Bangi.

Wakil rakyat Sungai Ramal Mazwan Johar berkata jumlah itu hasil sumbangan Masjid Kariah Bangi sebanyak RM10,000 dan penduduk Kampung Bangi (RM6,000) dan bakinya RM20,000 daripada peruntukan pejabatnya.

“Pihak Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal dan penduduk di Kampung Bangi bersepakat untuk mengumpulkan dana dan Alhamdulillah kita berjaya membaik pulih dan melebarkan ban di sungai ini.

“Terima kasih kepada penduduk kerana sudi menyumbang, insya-Allah dengan baik pulih ini kita harap Kampung Bangi tidak lagi dilanda banjir pada masa akan datang,” katanya kepada Selangorkini.

Menurutnya, sebelum ini kawasan terbabit kerap banjir berikutan ban yang rendah dan tidak mampu menahan air.

“Setakat ini sudah dua kali hujan lebat berlaku di sini dan kita dapati ban yang siap dibaik pulih ini dapat menahan air daripada membanjiri kawasan kampung.

“Bagaimanapun, ketahanan itu mungkin tidak bertahan lama tetapi kita akan perkuatkan lagi ban ini dengan tanaman pokok atau rumput ,” katanya.

                                                   http://

 

 


Pengarang :