Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan dapur murah sempena jualan Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang di Taman Pelangi pada 24 Disember 2022. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Warga emas manfaat jualan murah negeri beli barangan dapur, bantu orang susah

Oleh Diana Abd Wahab

RAWANG, 24 DIS:  Pasangan suami isteri warga emas tidak melepaskan peluang mengunjungi beberapa lokasi Jualan Ehsan Rakyat (JER) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang  bagi membeli barangan asas yang dijual dengan harga murah.

Mohd Jainal Mairan, 65, berkata beliau bersama isteri datang ke jualan murah di Taman Pelangi hari ini bagi menambah bekalan beras untuk disumbangkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

Mohd Jainal Mairan. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Isteri sentiasa menyemak lokasi JER sekitar Rawang yang dikemas kini melalui Facebook PKPS kerana kami tidak mahu terlepas peluang dapatkan barangan pada harga murah kerana dapat bantu lebih ramai golongan kurang bernasib baik.

“Kita ikuti JER untuk tambah stok kerana jualan murah hanya disambung semula selepas 15 Januari nanti,” kata pesara ini yang pernah membeli 40 kilogram beras untuk disumbangkan kepada jiran daripada golongan B40 yang terputus bekalan makanan.

Sementara itu suri rumah Ngui Yin Chyi, 36, berkata JER sememangnya dinanti keluarga B40 yang memiliki ramai tanggungan seperti dirinya.

Ngui Yin Chyi. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Memang berbaloi beli di sini kerana harga murah  berbanding tempat lain yang harganya berganda. Barangan juga segar dan berkualiti setanding pasar raya. Saya tidak kisah walaupun perlu beratur lama.

“Keluarga saya ramai dan hanya suami yang bekerja. Banyak barang saya beli antaranya beras, ayam dan telur. Harga memang betul-betul murah, saya hanya bayar RM60 untuk semua barangan ini,” katanya.

Pekerja kilang, Parvathy Munusamy, 49, tidak ketinggalan membeli barangan asas sebaik mendapat maklumat berhubung penganjuran program jualan murah itu oleh rakannya.

Parvathy Munusamy. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Program ini memang bagus, namun orang ramai terpaksa berbaris panjang di bawah terik matahari. Saya cadangkan tahun depan sediakan lebih banyak khemah dan kerusi untuk keselesaan warga emas dan individu ada masalah kesihatan,” katanya.

Jelajah jualan murah itu menyediakan barangan asas seperti ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Turut dijual barangan kering jenama Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tiram, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering seri kaya dan cili giling.

Program yang berlangsung di 56 DUN dimulakan sejak 6 September lalu akan disambung hingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.

 


Pengarang :