AGENDA NASIONAL

1,000 anak veteran ATM lahir 2022 terima akaun simpanan SSPN Prime

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Seramai 1,000 anak kelahiran baharu veteran Angkatan Tentera Malaysia yang lahir pada 2022 akan menerima sumbangan sebanyak RM1,000 setiap seorang dalam bentuk akaun Simpanan SSPN Prime dengan dana keseluruhan berjumlah RM1 juta.

Dana berkenaan disumbang Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (YVATM) melalui Program Insentif Simpanan Anak Veteran ATM, program baharu hasil kerjasama strategik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan YVATM yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata YVATM juga memberikan sumbangan berjumlah RM215,500 kepada 431 anak veteran ATM melalui Program Insentif Kecemerlangan SPM 2021.

“Setiap pelajar akan menerima sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM500. Tahniah kepada YVATM atas inisiatif penabungan ini,” katanya dalam ucapan pada majlis menandatangani MoU berkenaan hari ini.

Majlis MoU itu disempurnakan Ahmad Dasuki dan Ketua Pegawai Eksekutif YVATM Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus, disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.

Ahmad Dasuki berkata bagi menyokong kerjasama ini, PTPTN juga prihatin untuk memberikan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM50,000 juga di bawah program baharu, Program Dermasiswa Anak Anggota Dan Veteran ATM.

“Sumbangan ini akan diberikan kepada 500 anak anggota dan veteran ATM yang berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Tun Abdul Razak. Diharapkan dengan sumbangan ini membantu meringankan beban pelajar di samping menggalakkan penabungan di usia muda,” katanya.

Menurutnya, kerjasama antara PTPTN dan YVATM sangat signifikan dalam memaksimumkan fungsi dan peranan kedua-dua agensi agar dapat dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat, terutama dalam penabungan untuk pendidikan tinggi.

“Justeru, kerjasama dengan YVATM sangat dialu-alukan sebagai landasan terbaik untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penabungan serta menghargai pengorbanan dan sumbangan veteran tentera yang banyak berjasa dalam menjaga keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu, Zambery Jefry yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia berkata objektif utama sumbangan dana bernilai RM1 juta berkenaan adalah bagi memastikan anak kelahiran baharu mempunyai simpanan pendidikan untuk digunakan selepas usia 18 tahun.

“Insya-Allah program ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata PTPTN juga telah memperuntukkan sejumlah dana kepada YVATM bagi tujuan pelaksanaan aktiviti lain seperti program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menjurus kepada kebajikan veteran ATM dan keluarga yang memerlukan. – BERNAMA


Pengarang :