Orang ramai membeli keperluan harian menerusi Jelajah Ehsan Rakyat di perkarangan Surau Jamiah , Meru Klang pada 25 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

500 ekor ayam, 500 papan telur habis dalam sejam setengah di jualan murah DUN Meru

KLANG, 25 JAN: Hanya dalam tempoh sejam setengah, 500 ekor ayam dan 500 papan telur habis dijual menerusi Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru hari ini.

Penyelia JER DUN Meru Nur Nazira Ahmad berkata sambutan sangat menggalakkan meskipun sudah kali kedua program berkenaan dianjurkan di Surau Jamiah, Persiaran Hamzah Alang di sini.

Penyelia JER DUN Meru Nur Nazira Ahmad. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Orang ramai beratur sejak jam 9 pagi dan kami buka awal 10 minit sebelum 10 pagi selepas selesai semua persiapan dan susun atur barangan.

“Hari ini kita bawa 500 ekor ayam dan 500 papan telur, dua barangan ini habis terjual dalam tempoh sejam setengah manakala barang lain seperti beras, ikan dan daging turut laris,” katanya ditemui pada program jualan murah itu di sini hari ini.

Nur Nazira berkata pihaknya juga mengasingkan kaunter bayaran dan pengambilan barangan bagi memastikan kelancaran jualan dan tidak berlaku keciciran barang.

Orang ramai membeli keperluan harian menerusi Jelajah Ehsan Rakyat di perkarangan Surau Jamiah, Meru Klang pada 25 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu diteruskan dari 15 Januari hingga Mac dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di hampir 700 lokasi sekitar 56 DUN.

Inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :