EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berucap di Selangor Health Partnership Program (Selhep) 2022 pada 24 November 2022 di Ispace Plaza VADS, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantu individu alami kesihatan mental, negeri tawar rawatan percuma

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 2 JAN:  Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan khusus bagi membantu individu yang mengalami kesihatan mental menjalani rawatan secara percuma

EXCO kesihatan awam berkata insentif di bawah program Selangor Mental Sihat (Sehat) menyediakan 700 slot rawatan bersubsidi dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM222,600.

“Individu kurang berkemampuan yang berdepan masalah mental diseru mengambil peluang itu memandangkan rawatan psikiatri mahal.

“Kerajaan Negeri akan menanggung kos saringan, caj konsultasi bersama pakar psikiatri, rawatan psikoterapi asas dan rawatan ubat-ubatan bagi dua minggu pertama,” kata Dr Siti Mariah Mahmud menerusi Faceboook.

Beliau berkata gangguan kesihatan mental merupakan masalah kesihatan kedua tertinggi di Malaysia dan perkara tersebut perlu ditangani secara tuntas.

Program untuk menilai kesihatan mental itu boleh diakses dengan memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Menerusi SELangkah, pesakit perlu mendaftar slot di modul Sehat dan memilih klinik Selcare serta tarikh untuk saringan oleh pegawai perubatan.

Maklumat lanjut inisiatif tersebut juga boleh diperoleh menerusi www.drsitimariah.com/sehat.

Pada 30 Ogos lalu, Kerajaan Negeri melancarkan program Sehat bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik Covic-19 melanda.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.


Pengarang :