Seorang pengguna kelihatan memilih telur ayam ketika mengunjung MyFarm Outlet Kasih Putrajaya, Putrajaya pada 13 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Bekalan kian stabil, kerajaan kekal kawal harga telur

ALOR SETAR, 12 JAN: Kerajaan kekal dengan pendirian untuk mengekalkan harga telur di bawah harga kawalan dan tidak mengapungkannya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata walaupun terdapat permintaan dari pihak yang berkaitan, namun kerajaan lebih berhasrat untuk mengawal harga telur buat masa ini.

“Dalam isu ini, dia ada dua perkara iaitu berkenaan bekalan dan keduanya berkenaan harga kawalan. Berkenaan bekalan kita dah di fasa terakhir bagi menstabilkan bekalan dan boleh dikatakan kita sudah sampai ke penghujung fasa dan agak stabil.

Dari segi harga kawalan, setakat ini hasrat dan semangat yang ditunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri untuk mengawal harga telur, namun ia bukan selamanya sehingga ekonomi kita kembali pulih dan pengguna ada kuasa membeli.

Setakat ini, kita masih berpegang pada pendirian untuk kekalkan apa yang ada sekarang,” katanya berkata kepada pemberita selepas melancarkan Aduan Suri dan Peremajaan Semula Saluran Aduan Kepenggunaan Kementerian Perdangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersempena Karnival Jualan Rahmah di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan caj-caj tersembunyi termasuk caj pengendalian telur dan pengangkutan yang membebankan pengguna, Fuziah berkata pihaknya sedang menyiasat perkara terbabit.

“Kita pun tak salahkan peruncit sepenuhnya. Kita akan siasat untuk melihat lapisan mana yang mengambil untung ‘lebih’ dan ianya tidak boleh dibiarkan berlarutan, kita akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa kementerian.

KPDN merupakan sekretariat kepada Majlis Tindakan Kos Sara Hidup yang turut disertai oleh kementerian-kementerian lain, jadi memang kami saling bekerjasama untuk menyiasat hal ini dan sentiasa memberi perhatian isu itu,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :