AGENDA NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi, sentimen positif apabila inflasi AS mereda

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada urus niaga pagi Jumaat didorong oleh sentimen positif selepas angka Indeks Harga Pengguna (IHP) AS terkini menunjukkan inflasi di Amerika Syarikat terus menurun, sekali gus membayangkan kadar faedah yang lebih rendah pada masa hadapan.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.54 mata kepada 1,491.20 daripada penutupan semalam iaitu 1,488.66.

Pasaran memulakan urus niaga pagi ini pada paras 1,488.05, naik sebanyak 0.61 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara meluas menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 175 berbalas 97, manakala 211 kaunter tidak berubah, 1,719 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 200.73 juta unit bernilai RM85.27 juta.

Indeks harga pengguna (IHP) Amerika Syarikat susut 0.1 peratus pada bulan Disember seperti jangkaan, menjadikan ia penurunan terbesar sejak April 2020.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Purata Perindustrian Dow Jones memperoleh 217 mata manakala Nasdaq melonjak hampir 70 mata apabila hasil 10 tahun AS turun lagi kepada sekitar 3.44 peratus.

Di dalam negara, beliau berpendapat pembeli akan kembali di tengah-tengah situasi inflasi AS yang semakin mereda yang turut menyaksikan ringgit mengukuh berbanding dolar AS hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB naik tiga sen kepada RM5.78, Tenaga Nasional dan Telekom menokok lima sen masing-masing menjadi RM9.45 dan RM5.18 manakala Sime Darby Bhd menambah empat sen kepada RM2.31 dan Maybank peroleh dua sen menjadi RM8.82.

Bagi saham aktif, Serba Dinamik, Zen Tech International dan Hong Seng masing-masing menambah setengah sen kepada 1.5 sen, tiga sen dan 15.5 sen sementara Nationagate Holdings meningkat tujuh sen kepada RM1.07, manakala Artroniq susut 2.5 sen kepada 84 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 21.42 mata kepada 10,764.18, Indeks FBMT 100 mengukuh 20.25 mata menjadi 10,461.33 dan Indeks FBM Emas Syariah meraih 28.59 mata kepada 10,973.44.

Indeks FBM 70 meningkat 36.16 mata kepada 13,377.63 manakala Indeks ACE FBM melonjak 39.25 mata kepada 5,467.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan memperoleh 16.03 mata kepada 16,553.72 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.14 mata menjadi 183.95.

Indeks Perladangan pula menambah 21.08 mata kepada 6,943.70 dan Indeks Tenaga memperoleh 4.62 mata kepada 820.89.

– BERNAMA


Pengarang :