EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (dua, kanan) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim (kanan) meninjau kerja pembaikan cerun di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 9 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Kerja stabil cerun Taman Bukit Permai dijangka siap Mac

AMPANG JAYA, 9 JAN: Kerja penstabilan cerun di Taman Bukit Permai 2 di sini siap 80 peratus sejak dimulakan Mei tahun lalu, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata pengukuhan membabitkan pembinaan parit mendatar (horizontal) dan menegak (vertical) yang menelan kos RM15 juta dijangka selesai sepenuhnya Mac tahun ini.

“Berdasarkan pengawasan dan pemantauan pelbagai agensi, bahagian cerun berkenaan menunjukkan sudah stabil.

“Ketika ini kerja menstabilkan sedang giat dijalankan di bahagian kiri dan kanan cerun berkenaan,” katanya pada sidang media selepas meninjau tapak insiden tanah runtuh hari ini.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (tengah) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim (dua, kanan) meninjau kerja pembaikan cerun di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 9 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada 10 Mac lalu, insiden tanah runtuh meragut empat nyawa, seorang cedera ringan selain 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Mengulas lanjut, Izham berkata hujan berterusan sebelum kejadian mengakibatkan air bertakung dalam kuantiti besar yang menjadi punca insiden terbabit.

“Di sini adalah kawasan tambakan yang dibina pada tahun 80-an dengan sistem saliran tidak dibina dengan baik sehingga menyebabkan air bertakung.

“Sebanyak enam runtuhan tanah berlaku di kawasan ini dengan kali terakhir pada Disember tahun lalu, namun hanya membabitkan runtuhan kecil,” katanya lagi.

 


Pengarang :