SHAH ALAM, 5 JAN: Selangor memiliki simpanan suntikan penggalak vaksin Covid-19 yang mencukupi, kata EXCO Kesihatan.
Dr Siti Mariah Mahmud berkata sehubungan itu orang ramai disaran mengambil suntikan penggalak tersebut sebagai usaha meningkatkan imuniti badan.
“Ketika ini kita ada jumlah suntikan penggalak yang mencukupi, terutamanya bagi jenama Sinovac, yang boleh diambil secara percuma di klinik terpilih.
“Untuk jenama lain, saya masih lagi menunggu maklum balas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menyarankan orang ramai mengambil suntikan penggalak bagi mencegah jangkitan Covid-19.
Anwar berkata pengambilan dos itu masih rendah dan kurang mendapat sambutan berbanding dos pertama dan kedua dengan hanya 4.9 peratus direkodkan setakat ini.
Pada 31 Disember lalu KKM memaklumkan terdapat dua varian baharu Covid-19 Omicron iaitu BA5.2 dan BF.7 dikesan di negara ini.