Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada sidang media selepas mengadakan lawatan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2023 di AEON Mid Valley, Kuala Lumpur pada 16 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPDN saran peniaga patuh skim harga maksimum musim perayaan

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyarankan peniaga supaya mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina yang akan berlangsung selama 15 hari bermula semalam hingga 29 Januari ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pihaknya tidak berhasrat mengeluarkan amaran keras kepada peniaga sebaliknya mengharapkan kerjasama mereka untuk mematuhi etika bagi manfaat semua khususnya pengguna.

“Tetapi itu bukan bermakna KPDN bertolak ansur dengan segala pelanggaran, saya menasihati semua agar mengikut peraturan dan semua pihak mendapat keuntungan daripada program yang dilaksanakan KPDN,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barangan di Aeon Big, Mid Valley di sini hari ini.

Sebanyak lapan jenis barangan diwartakan dalam pelaksanaan SHMMP sempena Tahun Baharu Cina 2023 iaitu ikan bawal putih seberat antara 200 hingga 400 gram seekor, udang putih (antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram) dan bawang putih dari China.

Selain itu, ubi kentang import (China), kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing), babi hidup yang kawalan di peringkat ladang sahaja, daging babi bahagian perut serta daging babi (daging dan lemak).

Beliau turut menasihati masyarakat agar membeli produk makanan yang diperlukan sahaja bagi mengelakkan pembaziran ketika musim perayaan.

– BERNAMA


Pengarang :