Mohd Fadil Abd Fatah memeriksa buah melon di Tapak MeloSel Jalan Angkasa Tebuk Pulai Sungai Besar, Sabak Bernam pada 14 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Ladang Melon Selangor guna kaedah pintar, keluar hasil sulung 500 biji

SABAK BERNAM, 15 JAN: Ladang Melon Selangor (MeloSel) di Sungai Besar di sini berjaya mengeluarkan hasil sulung sebanyak 500 biji sejak ditanam dua bulan lalu.

EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim berkata tanaman berkenaan merupakan sebahagian daripada projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) tahun ini.

“Buah ini juga hasil kajian daripada lima benih yang dibuat khas oleh sebuah syarikat tempatan untuk Selangor dan sebab itu kita namakan ia sebagai MeloSel kerana ia eksklusif dan premium.

“Di sini juga lokasi pertama tanam MeloSel secara komersial dengan menggunakan kaedah pertanian pintar oleh pengusaha tempatan, tahniah diucapkan semoga usaha ini diteruskan,” katanya semalam.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (kanan) memotong buah melon di Tapak Melon Selangor (MeloSel) Jalan Angkasa Tebuk Pulai Sungai Besar, Sabak Bernam pada 14 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Bercakap selepas melawat produk agropelancongan Sungai Panjang MeloSel, Ir Izham berkata ladang berkenaan bakal dijadikan produk pelancongan pada masa akan datang.

“Kita akan meneliti untuk menambah baik penanaman MeloSel kerana tempoh masa hasilkan buah ini sekurang-kurangnya 60 hari dan buat masa ini kita perlu cari jalan kekalkan kualiti benih.

“Buat masa ini eksklusif di Selangor dahulu sebelum dipasarkan ke negeri lain dan harga kita tetapkan sekitar RM25 sekilogram,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin mendengar penerangan dari EXCO Pertanian Ir Izham Hashim mengenai pokok nangcem sempena pelancaran benih tanaman Selangor di Selangor Fruit Valley pada 2 Jun 2022. Foto Mustakim Ramli

Pada Jun lalu, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berkenan melancarkan lima benih tanaman di Selangor Fruit Valley.

Selain dua jenis benih melon (rangup dan manis), Tengku Permaisuri Norashikin turut melancarkan dua jenis jagung (bijirin dan manis) serta betik yang dihasilkan oleh syarikat Green World Genetics Sdn Bhd.

Pada pelancaran tersebut, baginda turut berkenan memilih beberapa cadangan nama seperti Melon Selangor atau Melo Sel untuk jenis rangup.


Pengarang :