Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama kumpulan berselawat ketika program Darul Ehsan Berselawat di Dataran Karnival Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 14 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB bersama 10,000 umat Islam meriahkan Darul Ehsan Berselawat

SHAH ALAM, 14 JAN: Alunan selawat bergema di Dataran Karnival, Pekarangan Stadium Shah Alam di sini malam ini sempena program Darul Ehsan Berselawat.

Program anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) disertai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama kira-kira 10,000 umat Islam.

Terdahulu, Amirudin yang tiba pada sekitar 8.15 malam disajikan dengan tayangan montaj sebelum acara selawat bermula setengah jam kemudian.

Selain selawat, program diselitkan dengan tausiah agama yang disampaikan Ustaz Iqbal Zain dan Sheikh Ashraf Hamed Hassanin.

Turut diadakan bacaan yasin dan doa selamat serta bacaan al-Quran oleh qari Muhammad Farhan Zul Akmal.

Orang ramai membaca yasin dan tahlil ketika program Darul Ehsan Berselawat di Dataran Karnival Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 14 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pelbagai acara menarik lain berlangsung pada sebelah pagi dan petang antaranya pertandingan mewarna, kaligrafi Islam (khat), azan dan nasyid.

Selain itu, pameran agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk cabutan bertuah serta persembahan pemuzik jalanan.

Semalam, Amirudin berkata program itu bertujuan memperingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW selain memohon supaya Selangor terus makmur dan dilindungi.


Pengarang :