Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Gombak, Husaini Yunos (kiri) menyampaikan baucar Jom Shopping sempena perayaan Tahun Baharu Cina di pasar raya Giant Gombak pada 14 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lebih 300 penduduk DUN Sungai Tua terima baucar beli-belah Tahun Baharu Cina

GOMBAK, 15 JAN: Lebih 300 masyarakat Tionghoa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menerima baucar Jom Shopping sempena Tahun Baharu Cina hari ini.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Gombak Husaini Yunos berkata baucar bernilai RM200 itu boleh ditebus di pasar raya terpilih untuk membuat persiapan dan membeli barang keperluan.

“Hari ini saya mewakili Dato’ Menteri Besar Selangor yang juga ahli parlimen Gombak merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua untuk menyampaikan sumbangan.

“Sememangnya setiap tahun kita adakan program seperti ini dan sambutan pengunjung yang hadir amat memberangsangkan,” katanya selepas menyampaikan baucar beli-belah kepada penerima di Pasar Raya Giant Batu Caves.

Menurut Husaini sebanyak 400 kuota baucar disediakan kepada penerima yang layak di DUN berkenaan.

“Selain itu, majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina peringkat DUN Sungai Tua dijangka dianjurkan minggu depan,” katanya.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang akan memanfaatkan 82,400 penerima.

Program itu merupakan bantuan yang dilaksanakan sempena tiga perayaan utama iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali bagi meringankan beban keluarga kurang mampu untuk membeli barangan keperluan.

Nilai baucar juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.


Pengarang :