Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pelumba drift Fazreen Ismail (kiri) selepas merasmikan Litar APDCrew di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang pada 31 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Litar APDCrew bantu lengkapkan industri pelancongan sukan negeri

Oleh AZIAN AZIZ

SUBANG JAYA 1 JAN: Pembukaan Litar APDCrew di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang di sini dapat membantu melengkapkan industri pelancongan sukan di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata litar baharu ini menyediakan persekitaran yang sesuai dan selamat untuk sukan permotoran selain dapat mengelak pelumbaan di kawasan awam yang boleh mengundang bahaya.

“Selepas penutupan Speed City KL pada 2015, Lembah Klang tidak mempunyai kawasan yang sesuai untuk aktiviti pemula bagi peminat sukan permotoran.

“Pembukaan litar baharu APDCrew di MARDI ini memberi pilihan baharu kepada penggiat sukan permotoran yang bukan sahaja menyertai sukan ini sebagai hobi tetapi turut mengharumkan nama negara dalam sukan permotoran dunia,’’ kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Litar APDCrew di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang pada 31 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian semasa merasmikan litar APDCrew dan Perlumbaan Drift APDCrew Circuit melibatkan 32 pelumba dari dalam dan luar negara semalam.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim serta dua pengarah APDCrew Circuit Halmi Khalid dan Hanizam Hamzah.

Dato’ Menteri Besar turut merasai pengalaman drift apabila menjadi penumpang kereta Nissan Silvia 180 SX yang dipandu pelumba kebangsaan Amirul Taufik sebanyak dua pusingan di litar tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mencuba menaiki kereta yang dipandu oleh Amirul Taufik selepas merasmikan Litar APDCrew di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang pada 31 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin memberitahu atas permintaan, Kerajaan Negeri turut membantu menurap litar baharu tersebut melalui Infrasel Sdn. Bhd.

“Litar ini mempunyai pelbagai fungsi di mana peminat pelbagai jenis sukan permotoran dapat dilatih dengan lebih teratur dan dengan cara yang betul selain digunakan untuk pertandingan.

“Litar ini juga dapat mencungkil bakat baharu dan memberi peluang kepada mereka yang berbakat,’’ katanya.


Pengarang :