Ketua Operasi Agihan Daerah Klang Mohamad Amir Mohamad Azam (kanan) menyerahkan sijil kepada Ketua Unit Pengurusan Masjid Daerah Klang Ahmad Kamarul Najam Datuk Mohd Ghazali simbolik penyerahan van jenazah untuk kegunaan ahli kariah Surau An Nur di Pangsapuri Seri Perantau, Klang pada 27 Januari 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

LZS hulur dana zakat, tampung kos Surau An Nur beli van jenazah

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 28 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbang dana zakat bagi menampung kos pembelian van jenazah untuk kegunaan ahli kariah Surau An Nur di Pangsapuri Seri Perantau, Klang.

Agensi itu berharap sumbangan itu memberi manfaat dan melancarkan urusan pengurusan jenazah ahli kariah serta masyarakat yang memerlukan.

“Alhamdulillah, hasil dana zakat anda telah kami salurkan untuk membantu Surau An Nur Pangsapuri Seri Perantau untuk memiliki sebuah van jenazah baru.

“Setelah pelbagai usaha dilaksanakan pihak surau mengumpul dana serta tambahan dana zakat. Akhirnya impian mereka tercapai dengan kejayaan memiliki sebuah van jenazah baru bagi menggantikan van jenazah lama yang telah usang,” katanya di Facebook.

Majlis sumbangan yang dirasmikan Ketua Operasi Agihan Daerah Klang Mohamad Amir Mohamad Azam, semalam turut dihadiri Ketua Unit Pengurusan Masjid Daerah Klang Ahmad Kamarul Najam Datuk Mohd Ghazali.

 


Pengarang :