Majlis Perbandaran Ampang Jaya membersihkan longgakan sampah haram di Jalan 6/10, Taman Sri Bayu, Ampang Jaya baru-baru ini. Sekurang-kurangnya 13 lokasi dikenalpasti menjadi tapak sampah haram sekitar Dewan Undangan Negeri Teratai. Foto Majlis Perbandaran Ampang Jaya
PBTSELANGOR

MPAJ bersihkan 13 tapak sampah haram di DUN Teratai, pesalah berdepan tindakan tegas

Oleh SHAMZ JOHAN

AMPANG JAYA, 28 JAN: Sekurang-kurangnya 13 tapak sampah haram sekitar Dewan Undangan Negeri Teratai dibersihkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) setakat ini.

Ketua bahagian perhubungan awam dan sekretariat MPAJ berkata pemantau diteruskan selain pita kuning dan kain rentang amaran turut dipasang di setiap lokasi bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Tayar terpakai, palet kayu, sisa dapur, sampah kebun dan perabot antara sampah yang ditemui di bahu jalan, simpang masuk kawasan perumahan, tiang elektrik dan bawah pokok.

“Longgokan sampah di kawasan sebegini boleh menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk serta persekitaran awam,” kata Norhayati Ahmad dalam kenyataan semalam.

Norhayati berkata tindakan tegas bakal diambil bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 4, UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPAJ 2007.

“Penduduk dan pemilik premis perniagaan juga diingatkan supaya menyediakan tong sampah bertutup yang mencukupi dan hendaklah diselenggara dalam keadaan yang baik.

“Sekiranya pemilik kediaman atau premis perniagaan gagal berbuat demikian, kompaun RM1,000 boleh dikenakan atas kesalahan bawah UUK yang sama,” katanya.

 


Pengarang :