Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjadi panelis dalam Program Wacana Membangun Malaysia Madani dan Amanat Perdana Menteri di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Konsep madani bantu negara bangun secara adil, mampan

PUTRAJAYA, 19 JAN: Konsep madani yang menekankan aspek pemikiran dan kerohanian membantu negeri dan negara membangun secara adil, makmur dan saksama, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan aspek keseimbangan dalam pembinaan masyarakat cuba diterjemah di Selangor sebagai usaha menjamin kemampanan dan kelestarian negara.

Beliau berkata usaha dibuat termasuk melaksanakan program Bitara yang mengumpulkan pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke 50 universiti terbaik dunia.

Turut dilaksanakan, jelasnya, Program Tuisyen Rakyat untuk membantu sekitar 20,000 pelajar yang berdepan masalah pembelajaran atau mungkin gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Itulah dua, tiga perkara yang saya gambarkan bagaimana kita melihat mereka yang cemerlang, pintar dan berpotensi. Pada masa sama, memastikan tiada yang tertinggal dalam arus pembangunan dan kemajuan negara dan negeri,” katanya.

Beliau berucap sebagai panelis dalam sesi Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Wacana sempena Majlis Amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan meneroka tonggak dasar madani yang memberi kefahaman lebih tuntas dalam kerangka pemikiran, falsafah, etika dan tindakan dalam membangun Malaysia Madani.

 


Pengarang :