Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan simposium prapelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selangor ‘tiang seri’ ekonomi negara, penyumbang terbesar KDNK

SHAH ALAM, 4 JAN: Selangor merupakan ‘tiang seri’ ekonomi negara berdasarkan sumbangan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar yang direkodkan tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata negeri ini menyumbang lebih 24.8 peratus kepada KDNK hasil kestabilan dan pengukuhan tadbir urus.

“Kerajaan Negeri telah membuktikan bahawa kita merupakan penyumbang besar dan tiang seri kepada ekonomi negara.

“Kita telah menyumbang lebih daripada 24.8 peratus kepada KDNK, selain pendapatan negeri juga bertambah melebihi sasaran,” katanya menerusi rakaman di Facebook menerusi pautan https://fb.watch/hQNvoq5FEA/

Beliau berkata Belanjawan Selangor 2023 yang diluluskan pada November lalu telah meningkatkan pendapatan kelompok pemimpin masyarakat dan organisasi penting di negeri ini.

“Antara penerima manfaat tersebut ialah ketua kampung, tok batin, ketua kampung baharu. Turut menerima manfaat lebih 8,000 guru Kelas Fardu Ain (KAFA) sebagai usaha untuk mempertingkatkan dan memperkasakan profesion mereka.

“Disamping itu, kita juga memastikan sebahagian lebih 2,000 daripada mereka diseragamkan kepada tahap gaji minimum RM1,500,” katanya.

Pada 25 November lalu, Kerajaan Selangor membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM2.45 bilion, merangkumi RM1.25 bilion (51 peratus) untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.20 bilion untuk perbelanjaan pembangunan (49 peratus).


Pengarang :