Penyedia dan pengendali makanan serta minuman di gerai Sri Dahlia, Medan Selera MPS, Gombak memakai pelitup muka, penutup kepala dan apron bagi meningkatkan tahap kebersihan dan mematuhi syarat lesen Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ketika tinjauan di premis berkenaan pada 3 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ didik peniaga makanan pakai pelitup muka, denda jika ingkar arahan

PETALING JAYA, 4 JAN: Denda atau kompaun akan dikenakan terhadap peniaga makanan sekitar Petaling Jaya yang tidak memakai pelitup muka.

Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir berkata tindakan itu dibuat secara berperingkat selepas selesai kempen kesedaran bagi memastikan arahan berkenaan dipatuhi.

“Penguatkuasaan sudah bermula namun ketika ini di fasa mendidik. Jika ada yang langgar peraturan, kita tidak terus mengeluarkan saman namun mereka diberi peringatan.

“Bagaimanapun sekiranya peniaga yang sama masih didapati gagal mengikut peraturan, denda akan dikenakan,” katanya pada majlis angkat sumpah ahli majlis bagi penggal 2023 hari ini.

Menurut Mohamad Azhan, penguat kuasa akan turun ke lapangan bersama pegawai kesihatan sebagai langkah memastikan peniaga mematuhi peraturan.

Pada Disember, Dato’ Menteri Besar berkata penjaja dan pengusaha restoran di negeri ini wajib memakai pelitup mulai 1 Januari bagi meningkatkan tahap kebersihan dalam pengendalian makanan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu juga dapat menambah keyakinan pelanggan selain mengelakkan penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan.


Pengarang :