Penerima anugerah MPP MBSJ Terbaik keseluruhan Tahun 2022 dari MPP Zon 4, Ar Kamarul Hisham Yeop Hisham (tengah) bergambar bersama ahli MPP Zon 4 selepas Majlis Perasmian MBSJ Vibrant Community Awards 2022 dan Pelancaran Geran Komuniti Subang Jaya Smart Vibrant 2023 di Bandar Sunway, Subang Jaya pada 15 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
PBTSELANGOR

MBSJ rai majlis perwakilan penduduk, hargai jasa bantu masyarakat

SUBANG JAYA, 16 JAN: Sebagai menghargai komitmen yang diberikan, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meraikan 24 majlis perwakilan penduduk (MPP) di kawasan pentadbirannya pada majlis MBSJ Vibrant Community Awards 2022 malam tadi.

Program yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar itu diadakan di Sunway Resort Hotel, di sini.

Turut diadakan pada majlis sama adalah sesi pemberian anugerah kepada MPP yang berjaya mengikut kategori dipertandingkan dengan membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai lebih RM60,000.

Lapan kategori anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah Program Kemasyarakatan MPP MBSJ Terbaik 2022; Anugerah Pengurusan Projek Inden MPP MBSJ Terbaik 2022; Anugerah Kejiranan Hijau MPP MBSJ Terbaik 2022 dan Anugerah Program Alam Sekitar Pangsapuri dan Kampung Angkat MPP MBSJ Terbaik 2022.

Selain itu, Anugerah Pengurusan Pentadbiran MPP MBSJ Terbaik 2022; Anugerah Pangsapuri dan Kampung Angkat MPP MBSJ Terbaik 2022; Anugerah Pegawai Kawasan Terbaik MBSJ 2022 dan Anugerah MPP Terbaik Keseluruhan 2022.

Johary dalam ucapannya berkata MPP MBSJ ditubuhkan pada 10 Februari 2001 dan ia merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama yang melaksanakan inisiatif tersebut.

Menurutnya, MPP itu terdiri daripada wakil komuniti yang bekerjasama dan berganding bahu bersama jentera MBSJ secara sukarela bagi menjadi mata dan telinga sekali gus membantu memperkasakan perkhidmatan kepada masyarakat.

“MPP juga berperanan membantu MBSJ menjayakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang selari dengan hala tuju MBSJ ke arah pembentukan sebuah bandar raya mampan.

“Sebagai tanda penghargaan dan galakan terhadap komitmen serta kerjasama yang diberikan, MBSJ berbesar hati memberi pengiktirafan kepada MPP ini sebagai pendorong semangat melaksanakan tugas,” katanya.


Pengarang :