Pasukan KIDaS Al-Hidayah muncul juara bola sepak bawah 12 di Kejohanan Piala Budak Kampung 2023 kejohanan siri keempat di Stadium Mini Paya Jaras, Sungai Buloh pada 15 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSINASIONALSELANGOR

KIDaS Al-Hidayah juara bola sepak bawah 12 tahun Piala Budak Kampung 2023

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 16 JAN: Inisiatif dan usaha guru bersama ibu bapa berhasil apabila pasukan KIDaS Al-Hidayah muncul juara bawah 12 tahun pada Kejohanan Piala Budak Kampung 2023 Daerah Petaling di sini semalam.

Jurulatih merangkap guru Mohd Amirul Asraf Nasarudin, 33, berkata matlamat asal penubuhan pasukan itu adalah mengisi masa lapang dengan aktiviti sukan.

“Awalnya tubuh (pasukan), untuk isi masa lapang pelajar selain mempromosikan kelas KAFA.

“Alhamdulillah, kerjasama guru dan ibu bapa membolehkan kami merangkul kejuaraan pertama tahun ini,” katanya.

Mohd Amirul Asraf Nasarudin, 33 dari pasukan KIDaS Al-Hidayah pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Piala Budak Kampung 2023 kejohanan siri keempat di Stadium Mini Paya Jaras, Sungai Buloh pada 15 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Dengan kejayaan tersebut, KIDaS Al-Hidayah membawa pulang wang tunai RM700, piala dan pingat manakala MSU FC terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan
RM500, piala dan pingat.

DSMY FC dan SKBD UNITED masing-masing membawa pulang RM300 dan RM200 selaku tempat ketiga dan keempat.

Bagi kategori bola sepak bawah 10 tahun, pasukan Golden Boys meraih johan dan menerima hadiah wang tunai RM700, piala dan pingat sementara naib johan, Paya Jaras Tengah C menerima hadiah RM500, piala dan pingat.

Sementara itu, pasukan Sentosa mengungguli kategori bola jaring dengan menewaskan Breezy Legs sekali gus membawa pulang wang tunai RM600, naib juara mendapat RM500 serta piala dan pingat.

Pasukan Sentosa muncul juara bola jaring di Kejohanan Piala Budak Kampung 2023 kejohanan siri keempat di Stadium Mini Paya Jaras, Sungai Buloh pada 15 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Walaupun baru pertama kali bergabung, kami tak sangka jadi juara,” kata Syarifah Fuzaina Dalilah Syed Abd Rahaman, 31, selaku jurulatih merangkap pemain.

Syarifah Fuzaina Dalilah Syed Abd Rahaman, 31 dari pasukan Sentosa pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Piala Budak Kampung 2023 kejohanan siri keempat di Stadium Mini Paya Jaras, Sungai Buloh pada 15 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Sementara itu pasukan MSTC pula menjadi johan kategori sepak takraw (bawah 18 tahun).

“Kami mula berlatih dari jam 4 petang setiap hari, walaupun selalu bermain bersama namun pasukan ini baru sahaja 3 minggu dibentuk,” kata Muhammad Amin Fareez Azman, 16, selaku ketua pasukan.

Johan sepak takraw membawa pulang hadiah wang tunai RM600, piala dan pingat sementara naib juara, KST mendapat RM500, piala dan pingat.

Kejohanan Piala Budak Kampung 2023 Peringkat DUN Petaling berjaya menarik lebih 200 pasukan bagi tiga kategori sukan yang dipertandingkan.


Pengarang :