Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar pada majlis angkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya di Bilik Mesyuarat Kenanga MBSJ pada 5 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ sasar kutipan lesen hasil bukan cukai RM30 juta tahun ini

SHAH ALAM, 10 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyasarkan kutipan lesen hasil bukan cukai sejumlah RM30 juta tahun ini.

Datuk Bandarnya Dato’ Johary Anuar berkata beliau yakin angka itu mampu dicapai selepas melihat kutipan yang dibuat pada tahun lalu melebihi sasaran.

“Tahniah kepada jabatan pelesenan kerana pada peringkat awal saya masuk hanya RM21 juta bajet kutipan kemudian saya minta dinaikkan kepada minimum RM25 juta.

“Alhamdulillah tahun lalu jabatan pelesenan berjaya mengutip lebih daripada sasaran iaitu RM26.8 juta bagi kutipan lesen hasil bukan cukai. Tahun ini pula kita letak sasaran RM30 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung menerusi program Subang Jaya Coffee Talk di Facebook MBSJ hari ini.

Sementara itu, Johary berkata MBSJ turut menyediakan draf bajet tahun 2023 dengan peningkatan pendapatan sebanyak RM35.89 juta berbanding tahun lalu.

“Manakala, perbelanjaan pendapatan juga dinaikkan kepada RM19.28 juta dan kita turut memperuntukan sejumlah 35 peratus bagi tujuan pembangunan,” katanya.

 


Pengarang :