Presiden Persatuan OKU Sentral Datuk Ras Adiba Radzi melakukan lawatan ke stesen dan tren MRT bagi meninjau kemudahan orang kurang upaya (OKU) di Stesen MRT Kampung Batu pada 15 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: OKU bakal nikmati pengangkutan awam percuma

PUTRAJAYA, 18 JAN: Orang kurang upaya (OKU) bakal menikmati perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, namun mekanisme pelaksanaan pemberian tambang percuma untuk golongan itu perlu diteliti.

Menurutnya ketika ini OKU diberi diskaun 50 peratus bagi tambang pengangkutan awam, tetapi tidak ramai daripada golongan itu yang menikmati manfaat tersebut.

“Saya telah bercakap dengan Yang Berhormat Menteri (Loke) berhubung perkara itu dan secara prinsip beliau telah bersetuju dengan cadangan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi dialog awam Perkhidmatan Kanak-Kanak (Pemeliharaan dan Perlindungan) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.

Nancy berkata tarikh pelaksanaan tambang percuma tersebut bergantung kepada pihak Kementerian Pengangkutan.

Nancy menerusi ciapan di Twitter beliau memaklumkan telah berbincang dengan Loke semasa mesyuarat Kabinet hari ini mengenai kemudahan tambang percuma kepada OKU yang menggunakan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan bas henti-henti.

-BERNAMA


Pengarang :