Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Pusat Prasekolah AnIS Seksyen 7, Shah Alam pada 12 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pembinaan pusat prasekolah anak istimewa di Rawang ringan beban ibu bapa, keluarga

Oleh AZIAN AZIAN

RAWANG, 31 JAN: Pengumuman pembinaan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Rawang berita baik kepada ibu bapa dan penjaga golongan tersebut di kawasan ini terutama yang kurang berkemampuan.

Wakil rakyatnya Chua Wei Kiat berkata beliau berterima kasih kerana Rawang dipilih antara lokasi pertama pembinaan pusat tersebut di luar bandar.

“Memang ada keperluan untuk pembinaan pusat prasekolah untuk anak istimewa ini kerana permintaannya tinggi tetapi perkhidmatan yang disediakan sedikit.

Chua Wei Kiat

“Bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri ini akan memberi manfaat kepada ibu bapa yang tiada tempat untuk menghantar anak istimewa mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Wei Kiat juga berharap agar inisiatif Kerajaan Negeri itu akan memberi motivasi kepada syarikat swasta untuk menubuhkan pusat jagaan percuma kepada anak-anak istimewa.

Pada 27 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Pusat Prasekolah AnIS yang diwujudkan awal tahun ini bakal dibina di kawasan luar bandar antaranya Rawang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Kanak-kanak kelainan upaya mengikuti sesi pembelajaran di Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) Seksyen 7, Shah Alam pada 12 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif khas tanpa bayaran yuran itu bertujuan menjadikan Selangor sebagai negeri yang mesra dan sejahtera untuk didiami semua lapisan masyarakat.

Amirudin berkata pusat jagaan harian orang kelainan upaya (OKU) itu menerima kanak-kanak kategori lewat perkembangan (GDD), sindrom down, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) yang lahir di Selangor berusia lima hingga enam tahun.

Pada 12 Januari, Amirudin melancarkan Pusat Prasekolah AnIS pertama yang ditubuhkan di Seksyen 7, Shah Alam bernilai RM1.25 juta.

Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Seksyen 7, Shah Alam yang dirakam pada 21 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dibina atas tanah seluas 42.7 kaki per segi dengan keluasan bangunan 4123.75 kaki persegi, pusat itu dilengkapi tiga kelas, ruang makan, surau, dapur, dua bilik guru dan pentadbiran, dua stor serta tandas untuk OKU.

Bangunan setingkat dibina Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) turut mempunyai kawasan lapang yang sesuai bagi aktiviti luar kepada kanak-kanak selain taman permainan.


Pengarang :