EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (tengah) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim (dua, kanan) meninjau kerja pembaikan cerun di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 9 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rumah di Taman Bukit Permai diisytihar tidak selamat, negeri bincang bantuan kepada penghuni

AMPANG JAYA, 9 JAN: Sebanyak 15 unit rumah di Taman Bukit Permai 2 di sini yang terkesan susulan insiden tanah runtuh Mac tahun lalu diisytihar tidak selamat diduduki.

EXCO infrastruktur berkata kediaman terbabit berada terlalu dekat dengan tebing selain berlaku keretakan struktur bangunan, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya serta Kumpulan Ikram Sdn Bhd (Ikram).

“Penduduk belum tahu lagi berhubung perkara ini. Kita akan maklumkan dalam masa terdekat sebab memang ada keretakan besar serta tidak sesuai dihuni selain membahayakan kedudukan mereka.

“Walaupun cerun sudah stabil tetapi rumah mereka telah terkesan dan perlu dikosongkan,” kata Ir Izham Hashim pada sidang media selepas meninjau kerja pengukuhan cerun di sini hari ini.

Keadaan rumah di Taman Bukit Permai 2 yang rosak akibat kejadian tanah runtuh pada Mac tahun lalu ketika tinjauan pada 9 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, beliau berkata perkara itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Rabu ini bagi membincangkan tindakan susulan selain bantuan mengurangkan beban penghuni.

“Selepas itu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan mengeluarkan notis pengosongan terhadap pemilik kediaman dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang Mac tahun lalu meragut empat nyawa, seorang cedera ringan selain 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Keadaan rumah di Taman Bukit Permai 2 yang rosak akibat kejadian tanah runtuh pada Mac tahun lalu ketika tinjauan pada 9 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKIN

Pengarang :