Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin (tengah) diberi penerangan ketika melawat kawasan Pangsapuri Lily & Rose, Taman Mayang Jaya, Petaling Jaya pada 30 Disember 2022. Foto Facebook JAMALIAH JAMALUDDIN
ADNSELANGOR

Wakil rakyat gesa bina sistem perparitan di pangsapuri elak tanah runtuh

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 2 JAN: Pihak pengurusan Pangsapuri Lily & Rose diminta membina sistem perparitan dan longkang yang berkesan untuk mengelak kejadian tanah runtuh.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata pembinaan itu perlu supaya kawasan perumahan di Taman Mayang Jaya, Petaling Jaya itu tidak mengalami insiden sama yang pernah berlaku sebelum ini.

“Pihak pengurusan pangsapuri bertanggungjawab untuk memastikan sistem perparitan dan longkang mempunyai saliran keluar yang berkesan. Ini bagi mengelak berlakunya kejadian tanah runtuh,” katanya menerusi Facebook.

Jumaat lalu, Jamaliah bersama Ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Sakinah Bibi Nagoor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pengurusan pangsapuri mengadakan lawatan bagi meninjau pagar belakang pangsapuri berkenaan yang runtuh akibat hujan lebat, baru-baru ini.

Menurutnya, semua pemegang taruh telah dimaklumkan bagi penyelarasan komunikasi dan tanggungjawab kerja agar masalah berkenaan dapat diselesaikan.

“Saya telah memanggil semua pihak terlibat untuk mengadakan mesyuarat bersepadu. Selain itu, saya juga akan memastikan projek JPS akan dijalankan seawal mungkin untuk membaik pulih kawasan tersebut,” katanya.


Pengarang :