ADN Meru Fakhrulrazi Mokhtar (tengah) meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat di Pangsapuri Meru Ehsan, Meru, Klang pada 1 Febuari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Meru pantau projek tebatan banjir, tumpu baiki kemudahan awam

KLANG, 1 FEB: Projek tebatan banjir di Meru dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan usaha menangani isu bah diselesaikan mengikut tempoh ditetapkan.

Wakil rakyatnya Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata dua projek besar telah diluluskan dan sedang berjalan termasuk pembinaan kolam tadahan di Kampung Budiman.

“Peruntukan RM20 juta telah diumumkan Dato’ Menteri Besar berkenaan kolam tadahan dan yang kedua projek tebatan banjir RM220 juta oleh kerajaan persekutuan, namun ditangguhkan oleh perdana menteri untuk dinilai semula.

“Walaupun agak terkilan tetapi tidak mengapa kerana jika kontraktor dilantik bermasalah akan menimbulkan perkara lain. Kita mahu selesaikan masalah bukannya timbulkan masalah lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di program Jualan Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru di Pangsapuri Meru Ehsan hari ini.

Mohd Fakhrulrazi berkata pihaknya juga memberi tumpuan kepada pembaikan kemudahan awam dengan peruntukan RM500,000 bagi Projek Selangor Penyayang.

“Buat masa ini sehingga tamat tempoh saya meneruskan kerja dan menggunakan kapasiti yang ada dengan sebaik mungkin supaya lebih agresif untuk laksana tanggungjawab.

“Saya mahu berikan yang terbaik dan apa diperlukan rakyat bukannya apa yang wakil rakyat mahu,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor akan melaksanakan projek bagi mengatasi masalah banjir membabitkan kos RM45 juta.

Pembinaan itu melibatkan kolam takungan banjir di Kampung Budiman dengan kos RM20 juta, Rawang Integrated (RM15 juta) dan Lebuhraya Shapadu bersebelahan Taman Mutiara Bukit Raja (RM10 juta).

Selain itu, Amirudin berkata Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) juga akan dibuat di Sabak Bernam menerusi peruntukan RM500,000 bagi menyediakan sistem saliran secara lebih bersepadu.


Pengarang :