Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar A Rahim Kasdi bercakap kepada Media Selangor ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Taman Ekstrim Gua Damai, Gombak pada 2 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Sungai Tua kerjasama dengan sekolah agih bantuan MBI

SHAH ALAM, 3 FEB: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua bekerjasama dengan sekolah bagi mengagihkan Bantuan Kembali ke Sekolah anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar A Rahim Kasdi berkata inisiatif itu dapat memastikan murid dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima sumbangan bernilai RM100.

“Kita mahu bantuan sampai kepada golongan sasar. Selain itu, kita turut meneliti maklumat murid dari ketua kampung dan ahli majlis untuk memastikan pelajar susah dibantu.

“Setakat ini, kita kenal pasti 300 murid layak terima. Bantuan akan diagih hujung bulan ini supaya mereka dapat melengkapkan keperluan sebelum sekolah dibuka pada Mac,” katanya kepada Selangorkini.

Tahun ini, MBI menyediakan peruntukan RM30,000 untuk setiap DUN bagi meringankan beban keluarga B40 dalam menyediakan keperluan sekolah.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar yang juga wakil rakyat Sungai Tua menyerahkan bantuan awal persekolahan kepada 1,212 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang lahir pada 2016.

 


Pengarang :