Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap sebuah premis penyimpanan dan bengkel kenderaan di Taman Kasaso berdekatan Kampung Koskan, Sungai Buaya pada 31 Januari 2023. Foto MPHS
PBTSELANGOR

MPHS serbu bengkel baiki kenderaan, disyaki punca pencemaran

SHAH ALAM, 3 FEB: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengeluarkan notis ke atas sebuah bengkel kenderaan di Taman Kasaso, Sungai Buaya kerana disyaki menyebabkan pencemaran.

MPHS menerusi kenyataan memaklumkan ketika serbuan pada 31 Januari lalu menemui kesan tumpahan bahan sisa terjadual minyak hidraulik yang disimpan dalam tong anggaran lima meter daripada tebing sungai.

“Terdapat tujuh tong berisi minyak hidraulik yang dikitar semula tidak diurus dengan baik dan kesan tumpahan dikhuatiri jika berlaku hujan lebat aliran air tersebut akan memasuki kawasan sungai.

“Bagaimanapun, pemilik premis memaklumkan tiada aktiviti servis kenderaan dijalankan sebaliknya tempat itu hanya dijadikan stor penyimpanan bas,” maklum pihak berkuasa tempatan itu.

Menerusi kenyataan sama, MPHS tetap mengeluarkan beberapa notis kesalahan terhadap premis antaranya mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta171) Seksyen 69 berikutan melakukan kacau ganggu di tebing sungai.

Justeru, pemilik diminta menyimpan bahan buangan terjadual di tempat berbumbung, melakukan pembersihan tanah tercemar dengan kesan minyak dan mengalihkan tangki septik di tebing sungai dalam tempoh tiga hari.

“Manakala, pemilik turut diberi notis amaran Seksyen 26(1)(a) kerana menjalankan pemajuan (bengkel bas dan tempat penyimpanan bas) tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan.

“Notis amaran mengikut Seksyen 70 (13)(c) turut dikeluarkan susulan membina struktur bangunan tanpa kebenaran dan diminta mengemukakan pelan bangunan kepada MPHS dalam tempoh 14 hari,” maklum PBT itu.


Pengarang :