Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya.
AGENDAJENAYAH

Individu baling botol kaca ke jalan raya dikenal pasti, polis giat kesan pelaku

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Polis telah mengenal pasti individu dalam video tular yang membaling sebuah botol kaca dari balkoni sebuah kediaman ke arah jalan raya dan pengesanan terhadapnya giat dilakukan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata hasil siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan dari sebuah premis kediaman di Jalan Cendana, Kampung Baru, di sini baru-baru ini.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah mengenal pasti individu berkenaan dan tindakan pengesanan sedang dijalankan.

“Tindakan itu suatu kesalahan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noor Dellhan berkata bagaimanapun pihaknya juga masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana mangsa berhubung kejadian itu.

Sehubungan itu, polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 bagi membantu siasatan.

Semalam, tular sebuah video berdurasi seminit 43 saat dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok dikenali @syrupboy yang memaparkan perbuatan seorang lelaki membaling botol kaca ke arah jalan raya.

– BERNAMA


Pengarang :