Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan bersama barang rampasan selepas dua pekerja pusat hiburan dipercayai terlibat dalam insiden rompakan bersenjata di sebuah kedai serbaneka 24 jam di bandar Chukai ditahan semalam. Foto Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman
AGENDAJENAYAH

Dua pekerja pusat hiburan diberkas dua jam selepas lakukan rompakan bersenjata

KUALA TERENGGANU, 3 FEB: Polis menahan dua pekerja pusat hiburan dipercayai terlibat dalam insiden rompakan bersenjata di sebuah kedai serbaneka 24 jam di bandar Chukai di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata suspek yang berusia 24 dan 39 tahun itu ditahan jam 4 pagi semalam di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah rumah dan bengkel di daerah Kemaman.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang positif dadah jenis Methampethamine mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu terlibat dalam jenayah rogol dan dadah.

“Kejadian berlaku pada 1.45 pagi semalam ketika mangsa, iaitu pemilik kedai serbaneka tersebut sedang duduk di hadapan kedai bersama dua rakannya sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal.

“Kedua-dua lelaki tersebut terus meluru ke arah mangsa dan rakannya sambil mengacukan senjata menyerupai pistol serta sebilah pisau,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini hari ini.

Hanyan berkata suspek yang memakai sarung tangan dan topi keledar kemudiannya mengarahkan mangsa masuk ke dalam kedai lalu mengunci pintu sebelum menggeledah kaunter wang dan merampas wang tunai RM2,000.

Selain itu, suspek juga merampas beg silang mangsa yang mengandungi wang tunai RM4,000, tiga telefon bimbit, dokumen peribadi dan kad bank.

“Suspek juga bertindak mencabut kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak dikenali. Bagaimanapun, melalui maklumat orang awam kedua-dua suspek berjaya diberkas dalam tempoh dua jam selepas kejadian.

“Tangkapan ke atas dua suspek ini juga membolehkan kita menyelesaikan dua lagi kes sama di bandar ini,” katanya.

Hanyan berkata kedua-dua suspek yang direman tujuh hari bermula semalam, disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :