Kerajaan menyalurkan RM446 juta kepada 207,128 pekebun kecil getah di seluruh negara sejak September 2015 sehingga 31 Disember 2022 bagi mengurangkan beban mereka ketika harga getah rendah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Insentif pengeluaran getah naik 20 sen, penoreh dapat bantuan musim tengkujuh RM800

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 25 FEB : Kerajaan menaikkan paras harga pengaktifan insentif pengeluaran getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sen sekilogram.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata insentif dengan peruntukan RM350 juta dapat meningkatkan pendapatan minimum penoreh getah.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen pada 24 Februari 2023. Foto BERNAMA

“Saya gesa Lembaga Getah Malaysia (LGM) memudah kaedah tuntutan terutamanya melibatkan pekebun kecil yang terpaksa keluar berpuluh kilometer hanya untuk mendapatkan insentif tersebut. Ini tidak boleh lagi menjadi amalan kerana menyusahkan rakyat.

“Saya mahu LGM dan semua agensi yang terlibat lebih responsif turun padang menguruskan tuntutan pekebun kecil dan mula bertindak proaktif dalam memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan,’’ katanya ketika pembentangan Belanjawan 2023 semalam.

Menurut Anwar kerajaan turut menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan.

Katanya, sumbangan itu dapat membantu meringankan beban yang ditanggung 320,000 pekebun kecil dengan peruntukan RM256 juta.

“Bagi meningkatkan permintaan getah sekali gus menambah pendapatan pekebun kecil, kerajaan akan menyediakan RM50 juta ringgit untuk menggunakan Cuplump Modified Bitumin (CMB) bagi penyelenggaraan jalan.

“Bahan CMB dilihat lebih memanjangkan jangka hayat jalan,’’ tambahnya.


Pengarang :