Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis perasmian Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Cadangan baik pulih lapangan terbang selaras usaha negeri, demi manfaat semua

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Cadangan baik pulih Lapangan Terbang Subang diumum dalam Belanjawan 2023 merupakan permintaan dan usaha sekian lama Kerajaan Selangor demi memberi manfaat kepada semua termasuk pelancong.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya telah mengusulkan perancangan tersebut kepada Kementerian Kewangan dan Pengangkutan.

“Belanjawan dibentang menyantuni semua pihak termasuk kelompok berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) walaupun daripada awal Perdana Menteri membangkitkan tentang beberapa limitasi seperti kadar hutang dan pergerakan ekonomi agak perlahan.

“Namun, saya percaya selain projek kebajikan, beliau juga tumpu kepada peningkatan projek infrastruktur dan baik pulih kemudahan pengangkutan awam seperti lapangan terbang.

“Naik taraf Lapangan Terbang Subang dan cadangan pembangunan pelabuhan utama di Pulau Carey selaras dengan apa yang kita bangkitkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1),” katanya.

Beliau ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2023 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Parlimen, semalam.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak turut mengalu-alukan cadangan pembinaan sekolah baharu dan projek tebatan banjir iaitu pembinaan kolam takungan dwifungsi.

“Seperti pembinaan sekolah, ia penting kerana kita berdepan dengan masalah kesesakan di sekolah yang agak kritikal dan harap ia disegerakan selain pemberian komputer riba sudah pasti membantu proses digitalisasi pendidikan negara.

“Selain itu, saya juga mengalu-alukan keterjaminan makanan dan pendidikan serta latihan teknikal vokasional (TVET) yang akan menjadi tumpuan dalam perbahasan nanti,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Anwar memaklumkan Kerajaan bercadang untuk membesarkan dan meningkatkan keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Subang bagi menggalakkan kemasukan pelabur, peniaga dan pelancong.


Pengarang :