Malaysia mengecam kempen penindasan ganas dan tanpa henti oleh rejim Israel ke atas warga Palestin, terutama terhadap tahanan dari Jenin di Tebing Barat. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Malaysia kutuk serangan tentera Israel, 11 rakyat Palestin maut, lebih 100 cedera

PUTRAJAYA, 25 FEB: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel di Nablus pada Rabu yang membunuh sekurang-kurangnya 11 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 100 yang lain.

Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Sabtu, perbuatan keji itu jelas merupakan jenayah terhadap kemanusiaan dan pelakunya perlu dipertanggungjawabkan.

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa supaya bertindak terhadap keganasan dan kekejaman berterusan yang dilakukan tentera rejim Israel di Wilayah Palestin yang diduduki.

“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu khususnya mesti memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan di bawah piagam PBB. Rakyat Palestin juga berhak mendapat keamanan, keselamatan dan keadilan,” menurut kenyataan itu.

Malaysia berdiri teguh dan menyokong tanpa berbelah-bahagi terhadap rakyat Palestin yang berhak mendapatkan negara yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Dalam serangan pada Rabu, tentera Israel menyasarkan sebuah rumah di Kota Lama Nablus selain menyerang penduduk Palestin yang membantah serbuan itu dengan peluru dan gas pemedih mata.

Antara yang menjadi mangsa seorang lelaki berusia 66 tahun dan kanak-kanak, menurut laporan media.

Sejak awal 2023, tentera Israel telah membunuh 62 rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

– BERNAMA


Pengarang :