Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli (tengah) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua kiri) dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (dua kanan) memotong reben melancarkan Inisaitif Pendapatan Rakyat di Ampang Jaya pada 26 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: IPR bimbing miskin tegar, B40 jana pendapatan, lebih berdikari

HULU LANGAT, 26 FEB: Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang bersifat memberdaya rakyat untuk lebih berdikari senada dengan program Kerajaan Negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari yakin pelaksanaannya memberi manfaat dan peluang yang lebih luas kepada golongan miskin tegar dan berpendapatan rendah (B40) di Selangor untuk menjana pendapatan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Inisaitif Pendapatan Rakyat di Ampang Jaya pada 26 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

“Sudah pasti apa yang kita tawarkan pada hari ini bukan dalam bentuk not ringgit atau e-dompet yang akan sampai kepada poket anda tetapi bagaimana anda semua dapat menjana pendapatan melalui program yang disusun.

“Program pertanian dan bekalan makanan, perniagaan makanan serta menyelenggara kemudahan awam disediakan di bawah inisiatif ini yang saya percaya dapat mengeluarkan mereka (dari belenggu kemiskinan).

“Inisiatif mandiri atau berdikari ini yang akan menyelesaikan masalah dan juga memberikan pendapatan selesa dan berpatutan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran IPR di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Cempaka di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis pelancaran yang disempurnakan Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

IPR menyasarkan 100,000 golongan miskin tegar dan B40 di negara ini untuk mencipta kelangsungan pendapatan sekaligus menoktahkan isu kemiskinan tegar negara menerusi tiga templat iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) merasmikan mesin vending menjual nasi lemak yang ditempatkan di Stesen LRT Cempaka yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (dua kiri) sempena majlis pelancaran Inisaitif Pendapatan Rakyat di Ampang Jaya pada 26 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Amirudin berkata Selangor merupakan negeri yang banyak memberikan kemudahan kepada rakyatnya, namun pada 2019 pihaknya mengubah pendekatan kepada program pemberdayaan yang bukan lagi tertumpu kepada pemberian.

“Ini kerana kita faham kelestarian adalah cabaran utama kita dan saya juga tidak mahu melahirkan rakyat yang bergantung sepenuh-penuhnya dengan kerajaan yang akan menghilangkan getaran kebolehdayasaingan di kalangan warga dan rakyatnya,” katanya.

Katanya, Selangor menumpukan golongan miskin bandar setakat ini kerana mereka yang benar-benar terkesan.

“Daripada kira-kira 126,000 keluarga miskin tegar negara mungkin sebahagiannya ada di Selangor terutama miskin bandar,” katanya.


Pengarang :