Oleh AZIAN AZIZ
AMPANG JAYA, 8 FEB: Kesedaran orang ramai untuk membawa beg sendiri ketika berbelanja di jualan murah kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) masih rendah.
Pegawai Jelajah Ehsan Rakyat berharap wakil rakyat membantu pihaknya menguar-uarkan kepada penduduk untuk membawa beg sendiri sekali gus menjayakan kempen bebas plastik.

“Hari ini contohnya, hanya dua pembeli yang membawa beg sendiri untuk mengisi barang yang dibeli dan kita jangkakan mereka belum tahu mengenai saranan kita itu.
“Jadi kita minta wakil rakyat dan penyelaras Dewan Undangan Negeri bantu hebahkan perkara ini,” kata Samsiyah Samsudin ketika ditemui di Jelajah Ehsan Rakyat DUN Teratai Jalan Bunga Melur, Lembah Maju hari ini.

Jualan yang bermula 10 pagi dihadiri hampir 300 penduduk bagi mendapatkan barangan keperluan asas dengan bekalan telur, ayam dan beras habis dijual.
“Hari ini kita benarkan pembelian berulang dengan semua barangan boleh dibeli dua unit kecuali telur,’’ katanya.
Pada 5 Februari lalu, PKPS melalui hantaran di Facebook menyarankan pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat membawa beg sendiri untuk mengisi barangan yang dibeli bagi menyokong kempen bebas beg plastik.