Penduduk kampung melakukan kerja pembersihan selepas banjir surut ketika tinjauan di sekitar perkampungan di Yong Peng pada 13 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Johor berkurangan kepada 31,680 orang pagi ini

JOHOR BAHRU, 16 MAC: Keadaan banjir di Johor semakin surut dengan jumlah mangsa banjir menunjukkan pengurangan kepada 31,680 orang setakat 8 pagi ini berbanding 33,254 orang jam 8 malam tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBM) tiga daerah masih terlibat dengan banjir iaitu Batu Pahat, Segamat dan Muar melibatkan 8,992 keluarga yang ditempatkan di 107 pusat pemindahan sementara (PPS).

“Batu Pahat mempunyai paling ramai mangsa iaitu 31,581 orang diikuti Segamat 75 orang dan Tangkak 24 mangsa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Seketariat Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat memaklumkan cuaca baik dijangka di daerah itu dengan ramai mangsa boleh pulang ke kediaman masing-masing.

Tinjauan mendapati paras air di beberapa kawasan di daerah itu semakin surut dan ramai mangsa juga telah mula membersihkan kediaman masing-masing terutama menjelang Ramadan minggu depan.

– BERNAMA


Pengarang :