Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan ‘flag off’ Misi Banjir Khidmat Malaysia ke Johor oleh Angkatan Muda KEADILAN sebelum merasmikan Kongres Nasional Khas 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 18 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dana sama, tender semula tambah bilangan projek tebatan banjir

SHAH ALAM, 18 MAC: Kejayaan Kerajaan Perpaduan menguruskan semula projek tebatan banjir yang sebelum ini diperuntukkan RM15 bilion, membolehkan beberapa lagi projek serupa dilaksanakan dengan menggunakan dana sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mengikut jumlah projek terdahulu, dengan saiz dana sama ia hanya mampu melaksanakan lapan atau sembilan projek tebatan banjir sahaja.

“Saya bukan nak hasad (dengki) nak korek, nak hentam orang, saya nak selamatkan dana supaya boleh dipulangkan balik kepada rakyat, itu kerja saya (sebagai perdana menteri).

“Lihat (projek) tebatan banjir sebagai contoh, saya sebut di parlimen peruntukan itu RM15 bilion dan kalau ikut projek dahulu ia setakat lapan, sembilan projek.

“Bila kita buat semula secara tender terpilih dan buat kerja dengan lebih teratur, dia boleh tambah dua, tiga projek lagi. Dari satu projek tebatan banjir di Johor, saya tambah jadi dua dari dana sama tetapi diurus dengan cekap dan telus, tiada rompakan berlaku,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2023 di sini hari ini.

Kongres yang berlangsung di Stadium Malawati dan bertemakan “Malaysia MADANI, Pelaksanaan Sebuah Idealisme” itu, turut dihadiri Timbalan Presiden Rafizi Ramli; Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung DAP Anthony Loke; Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau serta 41 wakil pejabat kedutaan asing.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan terus membela nasib rakyat, selain tidak membenarkan ‘tauke’ dan syarikat kaya lari membayar cukai kepada negara.

Terdahulu, Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilihat sebak sebaik kongres ditayangkan petikan filem ‘Anwar Ibrahim : Untold Story’, sebelum beliau menyampaikan ucapan dasar.

Filem yang akan ditayangkan di pawagam pada Mei, mengisahkan jatuh bangun perjalanan politik Anwar sejak 1991 sehinggalah terbentuknya gerakan Reformasi, selepas beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

– BERNAMA


Pengarang :