Kakitangan PKM DUN Sungai Tua membungkus pek daging di PKM DUN Sungai Tua pada 22 Mac 2023. Foto Facebook DUN Sungai Tua
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Sungai Tua agih 340 pek daging, ringan beban keluarga susah

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 28 MAC: Sebanyak 340 pek daging diagih kepada keluarga kurang mampu (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada 22 Mac lalu.

Pengurus Pusat Khidmatnya Maimon Misman berkata inisiatif kali keempat sejak 2020 sempena Ramadan itu diadakan bagi meringan beban golongan berkenaan.

“Lazimnya, kita anjur program bantuan untuk menyantuni keluarga dalam kumpulan B40, tahun ini kita agihkan pek daging khusus untuk penduduk beragama islam menyambut kedatangan Ramadan.

“Agihan dibuat melalui ketua-ketua kampung, ahli-ahli majlis, Penggerak Belia Selangor dan Angkatan Muda Keadilan untuk disampaikan kepada keluarga sasaran,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Maimon, setiap pek daging dengan berat 1.5 hingga 2 kilogram itu melibatkan peruntukan sejumlah RM25,000 termasuk perbelanjaan logistik.

“Kita harap sumbangan ini memberi manfaat kepada penduduk, program ini juga merupakan kesinambungan bantuan Jom Shopping Hari Raya.

“Kita sasarkan sepanjang Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri akan sentiasa ada bantuan-bantuan disalurkan kepada penduduk,” katanya lagi.


Pengarang :