Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 17 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Hasil negeri hampir RM900 juta setakat 15 Mac

SHAH ALAM, 17 MAC: Selangor mencatat hasil RM893.11 juta setakat kelmarin, meliputi hampir separuh daripada sasaran RM2.05 bilion yang ditetapkan untuk tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perolehan antara Januari hingga Mac itu meningkat lebih RM265.11 juta berbanding kutipan tahun lalu.

“Hasil ini kalau kita bandingkan kutipan tahun lalu, meningkat lebih RM265.11 juta. Pada 15 Mac tahun lepas kita rekodkan RM628 juta,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Perkara itu dimaklumkan pada sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Tua memaklumkan rizab negeri turut bertambah kepada RM3.7 bilion setakat Mac, tertinggi direkodkan sejak 2015.

“Ketika saya ambil alih pentadbiran negeri, rizab berjumlah RM2.1 bilion. Akhir tahun lepas rizab sekitar RM3.1 bilion dan sehingga 15 Mac cecah RM3.7 bilion,” katanya.

Isnin lalu, Sultan Selangor menzahirkan sukacita berikutan hasil negeri tahun lalu iaitu RM2.533 bilion tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh enam tahun.

Baginda bertitah kutipan itu juga melebihi sasaran awal negeri sebanyak RM2.05 bilion, lebih tinggi berbanding angka pada tahun sebelumnya iaitu RM2.284 bilion.

 


Pengarang :