Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima bantuan program back to school ketika Jelajah Kita Selangor Penyayang Daerah Petaling di Padang Permainan MBPJ pada 12 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ibu tunggal bersyukur, bantuan ringan beban sedia kelengkapan anak ke sekolah

PETALING JAYA, 13 MAC: Seorang ibu tunggal meluahkan kesyukuran susulan anaknya terpilih sebagai salah seorang penerima bantuan kembali ke sekolah daripada Kerajaan Selangor.

Juliana Idrus, 38, berkata sumbangan berjumlah RM100 itu meringankan bebannya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan Muhammad Izz Azelin Mohd Haredan, tujuh.

“Mungkin bantuan diterima itu bagi segelintir orang tidak besar tetapi bagi saya dengan empat anak masih bersekolah ia amat tinggi nilainya terutama ketika kos sara hidup yang meningkat.

“Terima kasih Kerajaan Negeri yang prihatin, semoga bantuan ini diteruskan pada masa akan datang,” kata ibu enam anak itu.

Manakala, suri rumah Norazliza Abdullah, 32, turut bersyukur kerana kedua-dua anaknya berusia 12 dan lapan tahun terpilih antara penerima bantuan kembali ke sekolah.

“Bantuan ini tepat pada masanya kerana sesi persekolahan bakal dibuka tidak lama lagi, boleh guna duit ini untuk beli kelengkapan sekolah anak-anak.

“Apabila kedua anak kami dapat bantuan memang sangat gembira, boleh bantu ringankan beban dan terima kasih Kerajaan Selangor,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua mereka antara tujuh penerima yang mewakili anak bagi mengambil bantuan persekolahan disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang di Padang Permainan MBPJ, Desa Mentari 3 di sini semalam.


Pengarang :